Pages

Monday, April 25, 2011

Keringat RM446,000

Chong Wei


Chong Wei

Chong Wei tekad tambah koleksi kejuaraan sebanyak mungkin 

APA yang harus berlegar dalam minda Lee Chong Wei ketika ini bukan lagi mengenai sentuhan Datuk Misbun Sidek tetapi memulakan misi lebih utama - menyambung keringat memburu gelaran dan menggandakan wang pendapatan.

Selepas mengumpul anggaran kasar perolehan RM446,000 sejak Januari lalu, pemain nombor satu dunia itu yang dipercayai atlit terkaya negara, mampu menambah koleksi kemenangan itu yang bermula dengan Terbuka India di New Delhi, Rabu ini dan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, minggu depan.
Chong Wei, 29, yang diletakkan selaku pilihan pertama kejohanan bernilai AS$200,000 (RM620,000) di India dijangka tidak berdepan masalah melakar sejarah memenangi kejohanan yang belum pernah dimenanginya dan pertama kali berstatus Siri Super itu. 

Apa lagi, musuh tradisinya, Lin Dan yang berjaya mempertahankan Kejohanan Asia dengan menundukkan rakan senegara Bao Chunlai 21-19, 21-13 di Chengdu semalam, tidak beraksi kali ini. 

“Sasaran utama saya selepas mempertahankan kejuaraan Seluruh England adalah memenangi Kejohanan Dunia dan Terbuka India adalah antara tiga kejohanan memanaskan badan sebelum menghadapi kejohanan berprestij itu di Wembley, Ogos nanti.” 

“Walaupun tanpa kelibat Lin Dan, tetapi saya tidak memandang mudah saingan lain dan berharap dapat mengekalkan momentum dengan memenanginya, apalagi, saya belum pernah meraih gelaran ini sepanjang karier saya,” katanya. 

Chong Wei yang sudah memenangi Grand Prix (GP) Master Final, Terbuka Malaysia dan Seluruh England serta muncul naib juara kejohanan paling termahal, Terbuka Korea sejak awal tahun ini akan membuka tirai perlawanan menentang pemain tuan rumah, Ajay Jayaram. 

Taufik Hidayat dan Peter Gade dijangka menjadi lawannya di final, tetapi sebelum melangkah ke perlawanan kemuncak itu, dia perlu melepasi halangan Kenichi Tago di suku akhir dan Boonsak Ponsana di separuh akhir. 

Sementara itu, gandingan emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong harus menggunakan kesempatan tanpa penyertaan beberapa beregu handalan dunia untuk menamatkan kemarau merangkul kejuaraan sulung tahun ini.

Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment